Monday, 9 December 2013

Teater Bangsawan



1.1.SEPINTAS LALU TENTANG BANGSAWAN

Bangsawan dikatakan hasil akulturasi daripada India yang datang ke Tanah Melayu pada tahun 1870an. Menurut Rahmah Bujang, teater Bangsawan memperlihatkan kesempurnaan. Bangsawan mengutamakan persembahan sebuah cerita lengkap yang disampaikan dengan adunan muzik, tarian, lakonan, nyanyian, dan sokongan latar hias dalam bentuk tirai, set, prop, dan sebagainya. Persembahan Bangsawan dapat dirumuskan sebagai seni persembahan teater yang bernilai dramatik yang dipengaruhi beberapa faktor. Faktor dalaman merupakan elemen dalam persembahan seperti pemilihan jalan cerita, lakonan pemain, olahan pentas, dan iringan muzik orkestranya. Manakala, faktor luaran seperti komunikasi dan interaksi Antara pelakon dengan penonton. Teater Bangsawan mempunyai nilai estetika yang tertentu , yang dapat dapat menyampaikan satu kesan kenikmatan yang istimewa dan mengandungi nilai yang tertentu.

1.1.1.      Kronologi teater Bangsawan

i.                    Tahun 1870 – 1884
Pengenalan drama India ke Tanah Melayu setelah merosotnya kumpulan wayang berbahasa Hindi di Pulau Pinang. Hartawan daripada Pulau Pinang membentuk kumpulan wayang sendiri “Pushi Indera Bangsawan of Penang” iaitu Mohammad Pusi.
ii.                  Tahun 1885 – 1902
Bangsawan mula tumbuh di Tanah Melayu. Banyak kumpulan telah dibentuk membawa kepada era pertunjukan Bangsawan yang popular di Malaysia hingga ke Indonesia.
iii.                Tahun 1902 – 1935
Zaman kecemerlangan Bangsawan yang mana memperlihatkan pengaruh drama William Shakespeare. Perkataan ‘Opera’ diperkenalkan.
iv.                Tahun 1936 – 1945
Bangsawan mula mengalami kemerosotan kerana persaingan daripada industri perfileman. Perang Dunia Kedua dan zaman darurat juga turu menenggelamkan industri Bangsawan.
        Namun, Bangsawan terus hidup atas galakan daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian, dan Pelancongan.
\
1.1.2.      Elemen dalam teater Bangsawan.

a.       Watak
Watak adalah manusia atau orang yang memainkan peranan ( pelakon ) dan melaksanakan aksi plot. Bangsawan akan dimulai dengan pembukaan yang memperkenalkan watak – watak, membayangkan peristiwa dan memastikan waktu kejadian. Kejayaan watak dalam drama adalah apabila aksi sesuatu lakonan dapat menghidupkan peranan mereka di atas pentas serta meyakinkan penonton terhadap lontaran emosi dan aksi yang pelakon lakukan.
Selalunya dalam sesebuah teater terdapat satu watak utama, tetapi pada saya sesebuah teater mempunyai dua watak utama, iaitu watak protagonis (watak yang menyokong idea penulis) dan watak antagonis (watak yang menentang idea penulis). Pertentangan idea ini akan menimbulkan konflik dan pertentangan konflik inilah yang membentuk struktur konflik dramatik yang menarik. Watak di dalam Bangsawan juga dikenali sebagai stock-type character. Watak terbahagi kepada empat kategori utama iaitu watak wira atau wirawati, watak jahat, pelawak atau badut, dan watak sampingan atau pembantu seperti dayang dan hulubalang. Watak wira atau wirawati juga dipanggil seri panggung atau orang muda selaku watak utama.



b.      Adegan selingan atau extra turns
Lakonan yang berlangsung di atas pentas akan diselang selikan dengan acara sampingan di antara babak dan adegan. Selingan menjadikan teater Bangsawan lebih menarik dan unik. Selingan juga dapat memberi ruang kepada menonton untuk mencari keselesaan di samping watak pada babak seterusnya membuat persediaan, krew pentas menukar prop, kostum, tirai, dan sebagainya.
Taukeh panggung lazimnya yang akan mengambil alih pentas pada sesi selingan ini. Babak selingan boleh juga terdapat dalam bentuk nyanyian, tarian perlawanan silat dan keris dan lawak jenaka. Lagu nasib atau lagu tarik digayakan untuk sikuen suka dan duka juga digunakan sebagai selingan . Terdapat juga selingan yang menjadi sebahagian daripada cerita atau subplot.


c.       Cerita atau Repertoire
Cerita atau repertoire bertujuan untuk menyampaikan tema atau pemikiran sesuatu cerita atau peristiwa. Pemikiran yang tersembunyi hanya dapat ditafsir oleh pembaca atau penonton yang mahu berfikir atau memahami perlambangan yang digunakan atau unsur cerita yang disampaikan oleh penulis dinamakan sebagai sub-teks. Sesuatu drama mungkin mempunyai lebih daripada satu tema atau juga tema tersebut tidak boleh dirumuskan. Tema cerita yang agak serius boleh dimasukkan unsur lucu, farsa, atau melodrama.
Bangsawan mempunyai repertoire cerita yang khusus dengan mengutamakan kisah raja – raja zaman silam, Bangsawan atau pari – pari, sama ada dari dunia atau kayangan. Bangsawan juga meliputi cerita pengembaraan, dugaan, dan kesengsaraan yang dramatik. Selain itu, teater Bangsawan juga memasukkan unsur silat dan tarian sebagai aksi yang lazim. Cerita dalam Bangsawan mengandungi nilai – nilai yang boleh difahami dan diterima oleh penonton.
Persoalan yang dibentangkan tidak terlalu dipermudahkan dengan mengutamakan elemen Poetic Justice iaitu menekankan sebab dan akibat, ganjaran dan hukuman dalam cerita. Cerita Bangsawan bersifat riwayat yang panjang. Peristiwa dikembangkan hingga mencapai konflik dan klimaks atau kemuncaknya. Kemudiannya, diakhiri dengan penyelesaian pada konflik dan keseluruhan jalan cerita.


d.      Bahasa dan skrip
Dialog atau skrip yang dituturkan merangkumi  intonasi, imej, penekanan suara, artikulasi dan bentuk penuturan sama ada bahasa yang digunakan oleh sesuatu watak itu puitis, jenaka, percakapan harian , mahupun menggunakan loghat atau slanga daerah tertentu. Bangsawan secara tradisinya tidak menggunakan skrip. Pelakon Bangsawan menokok tambah secara spontan atau membaiki dialog sambil berlatih atau berlakon dengan berpandukan kepada satu ringkasan cerita. Kepanjangan Bangsawan pada sesebuah pertunjukan bergantung kepada sambutan penonton. Dialog impromptu boleh dibina secara ad lib.
            Bangsawan lazimnya menggunakan bahasa romantisme formal dan mengandungi idiom atau gaya bahasa berirama dengan gabungan dialog berpuisi atau bersahaja. Bahasa juga berasaskan dialog yang berbunga – bunga dan berkias. Bahasa juga sebagai medium bagi memperlihatkan perbezaan watak sama ada watak golongan diraja, rakyat, atau bukan manusia.


e.       Spektakular atau Kekaguman
Kekaguman  merangkumi aspek visual yang terdapat dalam drama itu selain daripada apa yang diserlahkan melalui dialog atau aksi atau arahan pentas yang ditulis. Spektakular dilaksanakan melalui set, perhiasan pentas dan latar, prop, pelakon, kostum, koreografi, pencahayaan, atau dalam perkatan Perancis disebut sebagai mise-en-scene. Mise-en-scene merujuk kepada keseluruhan interpretasi dan produksi teater dan bagaimana kesemua ini dilaksanakan di atas pentas untuk menghantar emosi, psikologi, dan aliran penonton. Kekaguman juga dapat menonjolkan kesan tasmat iaitu suatu kesan khas yang membolehkan keajaiban yang dicipta di atas pentas kelihatan benar – benar wujud. Spektakular dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti bunyi latar, pencahayaan, iringan muzik dan lagu, kostum dan aksesori, tatarias dan mekap, gubahan set dan prop, tirai, dan sebing.

·         Muzik
Muzik dapat dikesan bukan hanya melalui alat muzik, juga melalui rima bunyi, cara bunyi – bunyian diorkestrasikan untuk menjadikan bunyian drama itu dipaparkan menjadi jeritan, tangisan, hentakan, bunyi percakapan, dan bunyi hujan. Muzik juga digunakan sebagai isyarat kepada pelakon bagi aksi keluar atau masuk pentas, atau isyarat kepada penonton bagi kesan dramatik, misalnya watak jatuh pengsan, terperanjat, berduka mahupun bersedih.
     Muzik dalam Bangsawan diselaraskan mengikut jalan cerita sama ada muzik Melayu asli atau barat. alat – alat muzik juga dipengaruhi oleh jalan cerita, misalnya Melayu asli menggunakan seruling, kompang, dan gendang, manakala barat menggunakan klarinet, piano, dan saksofon.

·         Tirai dan sebing
Bangsawan menggunakan tiga hingga tujuh tirai atau lebih bagi menunjukkan latar tempat dan masa seperti tirai hutan, rumah, istana, gua, taman bunga, kampung dan jalan kampung, tirai agung dan tirai extra turns. Tirai amat penting bagi menunjukkan pertukaran antara babak atau adegan.

     Sebing atau side wing iaitu pemidang pipih pula diletakkan di bahagian tepi kiri dan kanan pentas. Kegunaan sebing sangat penting dalam Bangsawan sehinggakan menjadi simbol kepada teater Bangsawan.

·         Seni Gerak ( stylized )
Bangsawan mempunyai gaya lakon yang sesuai dengan pemilihan repertoire. Gaya keseluruhan persembahan Bangsawan sangat bergaya iaitu penggayaan gerak geri dan unsur pandangan yang hebta, umpamanya gerak geri suka dilebihkan sementara kostum dan set tirai serta set prop dilukis dengan indah.

Sunday, 8 December 2013

Teater Bangsawan : Raja Muda Hamlet


 RMH merupakan teater Bangsawan yang pertama saya saksikan. persembahan yang sangat bertenaga. pendek kata tak kelip mata lah , huhuu . 

SINOPSIS

            Majlis perkahwinan Claudius dan Gertrude diraikan dengan penuh kemeriahan di singgahsana istana. Raja Muda Hamlet berdiri di satu sudut, berpakaian serba hitam, berkabung atas kemangkatan ayahandanya, Raja Denmark. Perkahwinan Gertrude dan Claudius (bapa suadara) disambut dingin oleh Hamlet, apatah lagi di saat beliau masih lagi berkabung di atas pemergian ayahandanya (Raja Denmark). Kecurigaannya terjawab apabila beliau mengetahui bahawa kematian ayahandanya angkara dengki khianat kerana ingin merebut takhta dan kuasa. Rasa benci, dendam dan kemarahan menebal dalam jiwanya. hanya menunggu masa untuk pembalasan. Claudius, bapa saudaranya meyakinkan rakyat dan penghuni istana bahawa kehadirannya selaku penyambung kegemilangan pemerintahan Negara. Gertrude dan Claudius meminta Hamlet menangguhkan pemergiannya ke Wittenberg. Manakala Laertes pula anak kepada Bangsawan Polonius mendapat keizinan daripada Claudius dan ayahnya sendiri untuk pergi ke Perancis.
            Sementara di kubu kawalan, Francisco dan Bernado didatangi lembaga yang lengkap bersenjata. Perkara ini dikhabarkan kepada Horatio dan Marcellus. Mereka bergegas ke kubu kawalan bagi memastikan kebenaran cerita. Ternyata, lembaga yang muncul itu menyerupai mendiang baginda Raja Denmark. Ketika mereka berada dalam kekalutan, tiba – tiba Hamlet datang tanpa disangka. Mereka cuba untuk merahsiakan perkara itu dari Hamlet tapi atas desakan Hamlet, akhirnya mereka menceritakan kejadian aneh itu. Hamlet berkeras untuk menjejaki roh itu walaupun telah dihalang. Ternyata roh itu ialah baginda Raja Denmark dan memanggil Hamlet untuk mengetahui kebenaran kemangkatan baginda yang didalangi Claudius dan pengikutnya. Hamlet berfikir untuk bertindak atau tidak menyerang bapa saudaranya, Claudius.
            Laertes pula telah bersiap sedia di pelabuhan untuk berangkat ke Perancis. Dengan penuh kasih, Laertes menasihati Ophelia agar menjauhi Hamlet. Bagi Laertes, hubungan itu hanyalah permainan nafsu dan perasaan yang bersifat sementara, satu perangkap untuk memikat gadis. Polonius juga tidak senang akan perhubungan itu lalu melarangnya berkasih dan berjumpa dengan Hamlet mahupun berutus surat.
            Polonius dengan yakin beranggapan punca kegilaan Hamlet adalah akibat perasaan cinta. Hal ini terbukti melalui sepucuk surat kiriman Hamlet kepada Ophelia. Kemudian, muncul pula Rosencrantz dan Gulidstern iaitu rakan sepermainan Hamlet sejak kecil yang sangat masak dengan peribadi Hamlet yang suka berahsia dengan tiba – tiba bersikap terbuka terhadap sekumpulan Bangsawan lalu menjemput mereka ke istana. Polonius dan Claudius ingin memerangkap Hamlet dengan menggunakan Ophelia sebagai umpan. Hamlet hadir dan berasa aneh dengan tingkah laku Ophelia dan mengesyaki sesuatu. Hamlet berpura – pura gila dan mengakui baginda tidak mencintai Ophelia pabila menyedari ada mata yang mengintip. Ophelia percaya bahawa Hamlet tidak tulus mencintainya. Claudius yang terpedaya membuat keputusan untuk menghantar Hamlet ke Inggeris sebagai utusan ufti.
            Claudius dan Gertrude telah menyaksikan sandiwara. Sandiwara tersebut telah dirancang oleh Hamlet samaseperti kejadian Claudius telah membunuh ayahandanya. Polonius mendesak Gertrude untuk bersemuka dan bertegas dengan Hamlet yang telah menyinggung Claudius. Hamlet datang berjumpa dengan Gertrude, manakala Polonius bersembunyi di belakang tirai. Gertrude telah berkelahi dengan Hamlet. Hamlet telah mendedahkan kemungkaran dan pengkhianatan di sebalik perkahwinan ibunya dengan Claudius. Dalam perkelahian itu, Hamlet dengan tidak sengaja telah membunuh Polonius.
            Laertes kembali ke bumi Denmark dan amat berduka cita apabila melihat keadaan Ophelia yang sudah gila dan kemudiannya mati lemas. Beban perasaan dan dendam itu makin bertambah dengan kematian ayahnya. Claudius telah mengambil kesempatan atas kejadian ini dengan berkomplot bersama Laertes dan mencadangkan perlawanan pedang Antara Laertes dengan Hamlet. Mereka berpakat hendak membunuh Hamlet dengan minuman dan pedang beracun.
            Hamlet telah bertegas bahawa dia tidak bersalah.  Hamlet telah hampir mengalahkan Laertes dalam perlawanan pedang. Namun, Laertes telah menggunakan taktik kotor, lantas melukakan Hamlet dengan hujung pedang di pehanya. Hamlet membalas dengan menggunakan pedang yang sama. Gertrude juga rebah kerana telah meminum air racun yang sebenarnya untuk menganiaya Hamlet. Claudius cuba melarikan diri, tapi akhirnya terperangkap dan dibunuh. Hamlet juga akhirnya rebah dan terus mati. 

Tuesday, 26 November 2013

Assalamualaikum , hey !

this is my first blog , and my very first post.
nothing to say , nothing to discuss
secara rasminya blog ini dilahirkan pada
26 November 2013 , 18:30

. bubbye ! smileeee , :)